8 Jan 2012

Maulana Ilyas Khandahlawi rahmatullahia’laih yang berketurunan banu Tamim adalah ‘lelaki dari timur’? (episod 1)

Entri kali ni aku ambil dari blog sahabat aku, ni link dia Bakal Maulana Ibnu Batoota ..


Assalamualaikum,ramai yang bertanya padaku juga berkenaan pemuda Tamim yang disebut dalam hadis sebagai pembantu utama Imam Mahdi,dan apa benar Maulana Ilyas rah merangkap pemula gerakan dakwah terbesar dunia iaitu jemaah Tabligh adalah lelaki yang dimaksudkan itu dan apa benar dia berketurunan dari nasab Saidina Abu Bakar As-Siddiq?Insyallah dengan izin Allah dan ilmu serta kajian yang Allah BERIKAN akan ku cuba untuk jelaskan disini hal ini.
Bismillah…

Bintang terlihat indah terang,
Saat dirimu datang,
Kau datang dengan harapan berjuang,
Namun kau ditolak dan dianggap dagang,
Disaat umat dalam kerosakan bukan kepalang,
Kau menangis rintih namun tetap tidak tenang,
Bagimu tiada rehat tiada masa lapang,
Dalam benakmu tertanam harapan menjulang,
Iaitu Islam yang dibawa rasulullah kembali pulang,
Walaupun ramai yang pincang,
Namun dia tetap teguh berjuang,
Inilah dia akhir zaman masa untuk turun padang,
Tentera Mahdi yang dibantu tentera Tamim bakal menang gemilang!

Apakah itu banu Tamim?
Hmm…ramai yang komplen post-post aku dalam blog ni sangat MENARIK tapi juga sangat PANJANG… =_=”
Errk….sahabat sekalian,aku telah sedaya upaya ringkaskan tulisanku namun terlampau banyak input yang tersumbat dalam otak ku sampai melimpah ruah dan tiada cara lain lagi melainkan aku muntahkan ke blog ini.Aku harap kawan-kawan dapat bersabar ye dengan tulisan-tulisan yang panjang ni.. ^_^
Maafkan aku kerana post ini juga mungkin akan menjadi sangat panjang…
Mula-mula sekali aku ingin nukilkan beberapa hadis berkenaan pemuda banu tamim :-

1)Sabda Nabi SAW,
“Pembawa bendera al-Mahdi adalah seorang laki-laki daripada suku bani Tamim yang datang dari Timur.”

2)Sabda Nabi SAW, “Orang ramai daripada Timur (Pemuda Bani Tamim dan pengikutnya benar-benar) akan muncul, kemudian menyerahkan kekuasaannya kepada al-Mahdi.”

3) Sabda Nabi SAW, “akan ada orang-orang yang keluar dari sebelah Timur, lalu mereka mempersiapkan segala urusan untuk al-Mahdi, yakni pemerintahnya.” (Ibnu Majah)

4)Telah mengeluarkan Tabrani dalam Al Ausat, dari Ibnu Umar bahwa Nabi SAW telah mengambil tangan Ali dan bersabda :
“Akan keluar dari sulbi ini pemuda(Ali) yang memenuhi dunia dengan keadilan (Imam Mahdi). Bilamana kamu melihat yang demikian itu, maka wajib kamu mencari Putera dari Bani Tamim(dari keturunan Abu Bakar), dia datang dari sebelah Timur dan dia adalah pemegang panji-panji Al Mahdi”. (dari kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti).

Siapa itu Abu Bakar dan apakah benar dia dari Bani Tamim?
Abu Bakar (bahasa Arab: أبو بكر الصديق, Abu Bakr ash-Shiddiq) (lahir: 572M – wafat: 23 Ogos 634M/21 Jumadil Akhir 13 H) termasuk di antara mereka yang paling awal memeluk Islam. Setelah Nabi Muhammad wafat, Abu Bakar menjadi khalifah Islam yang pertama pada tahun 632 M hingga tahun 634 M. Lahir dengan nama Abdullah bin Abi Quhafah(nama sebenar beliau), ia adalah satu diantara empat khalifah yang diberi gelar Khulafaur Rasyidin atau khalifah yang diberi petunjuk.

Nasab keturunan Abu Bakar r.a
Abu Bakar Ash-Shidiq atau Nama lengkapnya adalah ‘Abd Allah ibn ‘Utsman(Abu Quhafah) bin Amir bi Amru bin Ka’ab bin Sa’ad bin Taim bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’ay bin Ghalib bin Fihr al-Quraishi at-Tamimi‘. Bertemu nasabnya dengan nabi SAW pada moyangnya Murrah bin Ka’ab bin Lu’ai.
Dan ibu dari abu Bakar adalah Ummu al-Khair salma binti Shakhr bin Amir bin Ka’ab bin Sa’ad bin Taim yang berarti ayah dan ibunya sama-sama dari kabilah bani Taim yakni mahsyur digelar Tamim.

Bukti lain menunjukkan Abu Bakar dari Banu Tamim
Aku teringat sebuah kisah yang setiap kali aku teringat,aku akan menangis,kisah ini diceritakan dalam kitab Fadhilat Amal dan juga terdapat dalam kitab-kitab lain iaitu dari riwayat Ali r.a.Dan kisahnya begini,
Ali bin Abi Thalib pernah bertanya kepada para sahabat ketika beliau memgang kuasa khalifah,“Siapakah orang yg paling berani?”
jawab mereka,“Engkau wahai Amirul Mukminin”
kemudian Ali berkata lagi,” TIDAK! Orang yang paling berani adalah Abu Bakar As – Siddiq.
Demi Allah, aku pernah melihat Nabi Muhammad dikelilingi sekumpulan kaum kafir Quraisy yg sedang menarik dan mencemuh baginda ketika berdakwah di hadapan Kaabah, Sementara itu kami mengintip dari jauh.
Kemudian datanglah Abu Bakar menerpa orang-orang kafir tadi dan menghalang mereka menyakiti Rasulullah,beliau sangat kuat dan menolak semua orang disitu lalu berkata,
” Apakah engkau hendak membunuh org yg mengatakan Rabbku adalah Allah!?”
mendengarkan hal itu, mereka meninggalkan Rasulullah dan menerpa Abu Bakar.
Kemudian Uqbah bin Abu Mu’ith datang, Abu Bakar di hentak ke tanah dan dibelasah teruk.Uqbah lantas membaling sandal dan memukul wajah Abu Bakar dgn sandal terus menerus sehinggakan wajah Abu Bakar jadi bengkak sampai tak boleh nak ketahui lagi bentuk hidungnya.Mengalir darah dr wajah Abu Bakar lalu pengsan!
Sejurus itu datanglah kabilah dari Bani Tamim.Mereka menjerit bahawa jika Abu Bakar mati,mereka akan isytiharkan perang!Dan Uqbah orang pertama akan dibunuh kerana dia yang paling banyak memukul beliau.(Bani Tamim punyai ramai pahlawan handal dan ditakuti kabilah Arab).
Mereka membawanya ke rumah dan menyangka Abu Bakar tidak akan mampu di selamatkan lagi.
⁠⁠

Mereka berkata kepada ibunya, “Jika dia terjaga dan masih hidup, maka berilah dia makan dan minum”
Setelah beberapa lama beliau koma,lalu beliau tersedar,dan kalimat pertama yg keluar dari lisan Abu Bakar adalah,
“Bagaimana keadaan Rasulullah?”

T_T cukup lah..aku tak mampu cerita lagi..sampai sini pun aku sudah menangis.
Jadi jelas bahawa banu Tamim adalah banu kepada Abu bakar r.a.
Aku juga teringat satu lagi kisah riwayat Abu Bakar sendiri yang pernah menceritakan pengislamannya kepada Ibnu Mas’ud,dan ini untuk tambahan dan penguat bahawa dia memang dari Bani Tamim.
Katanya, “Aku pernah ke Yaman dan berjumpa dengan seorang tua.Dia rajin membaca kitab dan telah mengajar banyak murid.Lalu dia berkata kepada ku:
Orang Tua : Saya rasa tuan datang dari Tanah Haram(Makkah)
Abu Bakar : Benar
Orang Tua : Apakah tuan berbangsa Quraisy?
Abu Bakar : Benar
Orang Tua : Apa yang saya lihat,Tuan ini dari keluarga Bani Tamim?
Abu Bakar : Benar
Orang Tua : Ada satu perkara yang ingin saya tanyakan kepada tuan iaitu jika tuan tidak keberatan,benarkan saya melihat perut tuan.
Abu Bakar : Saya tidak benarkan selagi tuan tidak perjelaskan niat sebenar tuan kepada ku.
Orang Tua : Sesungguhnya,menurut ilmu yang ada padaku,seorang Nabi Allah akan diutuskan di Tanah Haram. Nabi itu akan dibantu oleh 2 orang sahabatnya yang seorang masih muda dan seorang lagi sudah separuh umur.Sahabatnya yang muda itu berani berjuang dalam segenap lapangan dan menjadi pelindungnya dalam kesusahan.Sementara yang separuh umur itu putih kulitnya dan berbadan kurus,ada tahi lalat di perutnya dan ada sesuatu tanda di paha kirinya.Apakah sudi tuan memperlihatkannya kepadaku.
Lalu Abu Bakar membuka bajunya dan memperlihatkan tahi lalat di perutnya.
Orang Tua : Demi Tuhan yang menguasai Kaabah,tuanlah orangnya!”

Jadi jelas sekali tanpa ragu bahawa beliau adalah pemuda Tamim dan pembantu Rasulullah ketika hidupnya dan anak cucunya pembantu anak cucu Rasulullah iaitu Imam Mahdi.

Kenapa Banu Tamim datang dari Timur bukan dari negara Arab?
Tanah arab atau kita gelar sebagai Hijjaz memang didiami oleh keluarga Rasulullah,keluarga para Sahabat dan orang Quraisy sejak zaman Rasulullah hinggalah Allah datangkan fitnah dajjal yakni tentera Wahabi/Salafi yang membunuh dan mengusir keluarga Rasulullah dan bani Tamim dari Hijjaz.
Bani Tamim itu tidak lagi mendiami Hijaz karena telah dihalau keluar oleh pemerintahan Bani Saud al-Wahhabi yang kini memerintah di Arab Saudi seperti yang telah ku ulang beberapa kali di post sebelum ini. Banyak pula yang dibunuh. Tidak kurang yang disiksa dan dihalau keluar dari tanah tumpah darah mereka,yaitu Hijaz. Banyak pula yang terpaksa lari menyelamatkan diri karena diburu oleh agen-agen kerajaan Saudi.
Pengusiran keluarga Nabi dan orang Quraisy oleh tentera Dajjal(Wahabi) ini telah dirakamkan dalam hadis Rasulullah saw yang berbunyi,
Dari Ibnu Mas”ud RA, katanya, “ketika kami berada di sisi Rasullah SAW, tiba-tiba datang sekumpulan anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terlihat mereka, maka kedua-dua mata banginda SAW dilinangi air mata dan wajah baginda berubah. Aku pun bertanya, “Mengapakah kami melihat pada wajah Tuan sesuatu yang tidak kami sukai?” Baginda menjawab, “Kami Ahlul Bait telah Allah pilih untuk kami akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dari penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang suatu kaum dari Timur yang membawa bersama-sama mereka Panji-panji Hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya, maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerima sehinggalan mereka menyerahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabatku yang akan memenuhkan bumi ini dengan keadilan seperti halnya bumi ini dipenuhi dengan kedurjanaan sebelumnya. Sesiapa yang sempat menemuinya, maka datangilah mereka itu, walaupun terpaksa merangkak di atas salji. Sesungguhnya dia adalah al-Mahdi.”(Ibnu Majah)

Jadi jelas sekali ia telah berlaku dan Imam Mahdi serta pengikutnya serta pemuda Banu Tamim akan menguasai semula Mekah dan menghalau puak-puak Wahabi/Salafi dan Bani Sa’ud yang memegang pemerintahan Mekah pada masa ini.

Bahkan jika dilihat secara logik,ahli keluarga Rasulullah seperti Habib Umar di Yaman dan keluarga bani Tamim dari Khandahlawi,India adalah pemegang kuat fahaman Tasawwuf dan Tareqat yang diharamkan Wahabi dan ada yang menghukum kafir kepada pengamal ilmu Tasawuf seperti Maulana Zakariyya Khandahlawi At-Tamimi merupakan syeikh besar dalam Tareqat Chisty yang juga merangkap Tareqat yang aku amalkan di bawah sanad murid beliau.

Keluarga Nabi dan Tamim ini diusir dan mereka bertebaran di seluruh dunia.Ada yang lari ke India,Yaman,dan banyak pula yang menetap di Nusantara.Tambahan lagi,para Habib,ulama Yaman(keluarga Rasulullah) dan ulama Deobandi,India(keluarga Tamim) adalah ulama yang terkenal dengan pengamalan tradisi mereka yang mengekalkan sistem pengajaran secara Madrasah(cara yang paling mendekati Rasulullah),bukan Universiti yang mendekati cara Yahudi.

Mereka juga ulama yang paling kuat berpegang kepada Sunnah Rasulullah berbanding ulama tempat lain yang tidak mahu beramal dengan Sunnah Nabi atas alasan ‘Strategi Dakwah’,mereka tidak mahu bercelak,berserban,berjubah dan lebih selesa memakai kot hitam seperti Rabbi Yahudi,lihat saja ulama-ulama muda zaman ini yang sangat cintakan budaya Yahudi sambil melaungkan,‘Iman bukan pada pakaian’
Sedangkan jelas sekali bahawa Imam Mahdi dan pengikutnya itu bukan pemakai kot dan bersongkok seperti Imam Muda Astro Oasis atau pemakai baju ‘Muslimin United’ atau ‘Islam inside’ seperti ikhwah-ikhwah usrah,bukan juga berbaju Melayu seperti orang Melayu tapi mereka berjubah,berserban dan berselendang seperti Nabi mereka.

Aku tinggalkan persoalan itu untuk kalian yang mempunyai AKAL untuk berfikir……
Selain daripada Hadis,dikatakan juga pemuda Tamim nanti memakai serban biru.Mungkin serban biru itu tidak selalu dipakainya, cuma sekali-sekali saja. Namun begitu, ini sudah cukup menjadi bukti bahwa hanya beliau yang sanggup memakai serban biru. Ulama lain ketika itu, terutama ulama fiqh, sudah tidak sanggup lagi meletakkan serban di atas kepala sebagai pakaian harian, apalagi untuk memakai serban yang berwarna biru,hitam atau hijau.

Pernyataan ini bukan datang dari hadis Nabi SAW atau dari tabiin, tetapi datang dari ramalan Nostradamus, seorang peramal bangsa Perancis yang terkenal itu. Oleh itu, ramalan beliau ini boleh dijadikan sebagai sumber tambahan saja, bukan untuk dipercayai, apalagi untuk diyakini, walaupun MUNGKIN benar kerana tidak bercanggahan dengan apa yang nabi ceritakan.

Siapa pula Maulana Ilyas Khandahlawi?


Perlu diketahui bahawa pemula gerakan Islam terbesar dalam dunia ini dimulakan oleh seorang lelaki dari TIMUR bumi dan berketurunan BANI TAMIM iaitu Maulana Muhammad Ilyas Al-Kandahlawy.
Beliau lahir pada tahun 1303 Hijrah (1886 M) di perkampungan Kandahlah di kawasan Muzhafar Nagar, Uttar Pradesh, India.Ayahnya bernama Syaikh Ismail dan ibunya bernama Shafiyah Al-Hafidzah. Keluarga Maulana Muhammad Ilyas terkenal sebagai gudang ilmu agama dan memiliki sifat warak,semua ahli keluarganya dari keturunannya adalah Ulama dan para Huffaz Al-Quran.

Maulana Muhammad Ilyas Al-Kandhahlawy juga adalah daripada keturunan Hazrat Abu Bakar as-Siddiq r.a, seorang sahabat Rasulullah s.a.w. Maulana Muhammad Ilyas pertama kali belajar agama pada abangnya Syaikh Muhammad Yahya, beliau adalah seorang guru agama di madrasah di kota kelahirannya. Abangnya adalah seorang pengikut mazhab Hanafi dan sahabat daripada seorang ulama dan penulis Islam terkenal, Syaikh Abul Hasan Al-Hasani An-Nadwi yang merupakan seorang pengarah kepada lembaga Dar Al-‘Ulum di Lucknow, India.



Pada suatu ketika saudara keduanya, iaitu Maulana Muhammad Yahya pergi belajar kepada seorang alim besar dan pembaharu yang ternama yakni Syaikh Rasyid Ahmad Al-Gangohi, di desa Gangoh, kawasan Saharanpur,Uttar Pradesh,India(Alhamdulillah aku telah sampai ke situ pada tahun 2009 dan Insyaallah aku akan ceritakan pengalamanku disana).

Maulana Muhammad Yahya belajar membersihkan diri dan menyerap ilmu tasawuf dengan bimbingan Syaikh Rasyid Ganggohi. Hal ini pula yang membuat Maulana Muhammad Ilyas tertarik untuk belajar pada Syaikh Rasyid sebagaimana abangnya. Akhirnya Maulana Ilyas memutuskan untuk belajar agama menyertai abangnya di Gangoh.

Setelah menyelesaikan pelajaran Hadis Syarif, Jami’at Tirmidzi dan Shahih Bukhari, dan dalam jangka waktu empat bulan beliau sudah menyelesaikan Kutubus Sittah(6 kitab Hadis yang Sahih iaitu Bukhari,Muslim,Tirmizi,Abu Daud,Ibn Majah,Nasa’I) .

Tubuhnya yang kurus dan sering terserang sakit semakin membuat beliau bersemangat dalam menuntut ilmu, begitu pula kerisauannya yang bertambah besar terhadap keadaan umat yang jauh daripada syariat Islam.



Besarnya pengorbanan Maulana hanya untuk memajukan pendidikan agama bagi masyarakat Mewat,India tidak mendapatkan perhatian. Bahkan mereka enggan menuntut ilmu dan suka hidup dalam kejahilan, mereka senang hidup dalam keadaan yang sudah mereka jalani selama bertahun-tahun turun temurun.

Beliau melihat bahawa kejahilan, kegelapan dan sekularisme yang melanda negerinya sangat berpengaruh terhadap madrasah-madrasah. Para murid tidak mampu menjunjung nilai-nilai agama sebagaimana yang sepatutnya, sehingga gelombang kejahilan semakin melanda bagaikan gelombang lautan yang meluru deras sehingga ratusan mil membawa mereka hanyut.

Melihat keadaan Mewat yang sangat jahil itu semakin menambah kerisauan beliau akan keadaan umat Islam terutama masyarakat Mewat. Kunjungan-kunjungan dilakukannya bahkan madrasah-madrasah banyak didirikan, tetapi hal itu belum dapat mengatasi masalah yang dihadapi masyarakat Mewat.

Pada tahun 1351 H/1931 M, beliau menunaikan haji ke tanah suci Mekah. Kesempatan tersebut dipergunakannya untuk menemui tokoh-tokoh India yang ada di Arab untuk memperkenalkan usaha dakwah dan dengan harapan agar usaha ini dapat terus dijalankan di tanah Arab.

Keinginannya yang besar menyebabkan beliau berkesempatan menemui Sultan Ibnu Sa’ud yang menjadi raja tanah Arab untuk mengenalkan usaha dakwah seperti Rasulullah mulia yang dibawanya. Selama di tanah Mekah, jamaah bergerak setiap hari dari pagi sampai petang, usaha dakwah terus dilakukan untuk mengajak orang taat kepada perintah Allah dan menegakkan dakwah.

Setelah pulang dari haji tersebut, Maulana mengadakan dua kunjungan ke Mewat, masing-masing disertai jamaah dengan jumlah yang cukup besar, paling sedikit seratus orang. Bahkan di beberapa tempat jumlah itu semakin meningkat. Kunjungan pertama dilakukan selama satu bulan dan kunjungan ke dua dilakukan hanya beberapa hari saja. Dalam kunjungan tersebut beliau selalu membentuk jamaah-jamaah yang dikirimkan ke kampung-kampung untuk berjaulah (berkeliling dari rumah ke rumah seperti yang dilakukan jemaah Tabligh sedunia) untuk menyampaikan pentingnya agama. Beliau sepenuhnya yakin bahawa kejahilan, kelalaian serta hilangnya semangat agama dan jiwa keislaman itulah yang menjadi sumber kerosakan.

Dari Mewat inilah secara beransur-ansur usaha tabligh meluas ke Delhi, Punjab, Khurja, Aligarh, Agra, Bulandshar, Meerut, Panipat, Sonepat, Karnal, Rohtak dan daerah lainnya. Begitu juga di bandar-bandar pelabuhan banyak jamaah yang tinggal dan terus bergerak menuju tempat-tempat yang ditujukan sepeti halnya daerah Asia Barat.

Terbentuknya jamaah ini adalah dengan izin Allah melalui asbab kerisauan Maulana Muhammad Ilyas, tersebarlah jamaah-jamaah yang membawa misi berganda, iaitu islah diri (perbaikan diri sendiri) dan mendakwahkan kebesaran Allah s.w.t kepada seluruh umat manusia.

Perkembangan jemaah ini semakin hari semakin ketara. Banyak jamaah yang dihantar dari tempat-tempat yang dikunjungi jamaah, kemudian membentuk rombongan jamaah baru sehingga silaturrahim antara kaum muslimin dengan muslim yang lain dapat terwujud. Gerakan jamaah tidak hanya tersebar di India tetapi sedikit demi sedikit telah menyebar ke pelbagai negara di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali dan aku Alhamdulillah telah dipilih Allah sebagai salah satu pejuangnya dan aku mengajak kalian agar bergabung denganku mendakwahkan agama ini.

Buah fikiran beliau dicurahkan dalam lembar-lembar kertas surat yang dihimpun oleh Maulana Manzoor Nu’mani dengan judul Aur Un Ki Deeni Dawat yang ditujukan kepada para ulama dan seluruh umat Islam yang mengambil usaha dakwah ini.

Karya beliau yang paling nyata adalah beliau telah meninggalkan kerisauan dan fikir atas umat Islam hari ini serta metod kerja dakwahnya yang atas izin Allah s.w.t telah menyebar ke seluruh pelosok dunia. Orang-orang yang mengetahui keadaan umat, insya-Allah akan mengambil jalan dakwah ini sebagai penawar dan ubat hatinya, dan akan menjadi sebab hadirnya hidayah bagi dirinya dan orang lain.

Akhirnya Maulana menghembuskan nafas terakhirnya; beliau pulang ke rahmatullah sebelum azan Subuh. Beliau merupakan seorang pengembara yang mungkin tidak pernah tidur dengan tenang, kini sampai ke tempat tujuannya. Beliau meninggalkan karya-karya tulisan tentang kerisauannya akan keadaan ummah.

Alhamdulillah dengan izin Allah tamat sudah episod 1 dari tulisan daif dan hina dariku ini..semoga Allah ampunkan kesalahan ku selama daku menulis blog ini…….
To be continue InsyaAllah….

No comments:

Post a Comment